Mencari Kedamaian di Hati

Alhamdulillah, kita masih lagi dapat menghirup udara nyaman nikmat Allah. Hari-hari yang berlalu, membawa kisah suka duka. Lama hidup, banyak dirasa. Jauh perjalanan tambah pengalaman. Pengalamanlah mematangkan fikiran. Pengalaman juga membawa nostalgia yang menjadi kenangan yang berpanjangan.
Penulis dilahirkan pada 14111953 dikalangan lima orang adik beradik, seorang perempuan dan empat lelaki. Penulis anak ke empat. Sebab itu dipanggil Pak Cik dan sebelah keluarga isteri dipanggil Ayah Ngah. Tidak banyak peristiwa menarik pada zaman kecil. Seingat penulis ialah peristiwa pertandingan silat di gelanggang Chabang Empat, kedatangan P. Ramlee di Panggung Chabang Empat, helikopter mencurahkan poster-poster pilihan raya 1956, wayang gambar public (cat harau kurus) dan permainan-permainan wayang kulit dan mak yong menora yang penulis minat.
Penulis dibesarkan dan dipersekolahkan lewat setahun iaitu pada 1961. Sebab itu penulis lakar kelas pada darjah tiga. Penulis belajar darjah tiga hanya sepenggal dan diangkat ke darjah empat pada penggal kedua. Ketinggalan ini masih terasa sehingga sekarang. Walau bagaimanapun sempat mengejar pelajar darjah empat dalam masa sepenggal dan mendapat number 5 pada tahun berikutnya.
Di sekolah penulis rasa rendah diri kerana kemiskinan. Baju tak bertukar dan belanja sekolah pun minima (10 sen sehari). Keluarga penulis bukan miskin, ada tanah banyak tetapi tidak ada wang tunai. Ayah pula telah ke hulu Kuala Legih memajukan tanah hutan projek Dato' Asri. Keadaan ini menyebabkan penulis matang awal, apa tidaknya, apabila emak mengikut ayah ke Ulu Legih, penulis terpaksa memajak sawah, mengerat sawah dan menyediakan makanan untuk abang-abang.

Tamat sekolah rendah, penulis hampir-hampir tidak dapat ke tingkatan 1 Sekolah Anika Jurusan (dua tahun usia). Dengan berbekalkan kehendak yang kuat, penulis memasuki sekolah menengah dengan 1 dozen buku tulis 80 ms (masa itu $1.20 harganya). Buku teks tak mampu beli. Hanya buku Suluh Bahasa, penulis sewa dengan Shahrom Ibrahim dengan harga 50 sen (kini pensyarah Kanan di UITM Shah Alam). Sebab ada buku teks itulah penulis mendapat markah tertinggi dalam subjek BM tingkatan 1. Subjek lain yang tertinggi ialah Ilmu Alam sebab sangat suka belajar dengan Che Muhd Nor Harun (bekas PPD Pasir Mas / Tumpat).
Hari-hari di sekolah anika jurusan adalah penuh dengan pengalaman yang manis dan pahit. Pengalaman manis kerana kami dapat bersama dengan rakan-rakan yang berlainan sekolah. Ada yang datang dari SK Bendang Pak Yong, SK Teluk Jering, SK Simpangan, SK Bunuhan dan ada yang datang dari SK Kubang Batang. Kami daripada berbagai latar belakang keluarga, berkumpul dalam jumlah yang kecil dan memang berhubung antara satu sama lain dengan sangat ikrab. Guru-guru kami juga dikalangan guru muda yang gigih. Manakala kenangan pahit pula ialah akibat diapit oleh kemiskinan. Penulis berseluar pendek yang hanya sepasang dan sangat susah untuk menjelaskan yuran sekolah walaupun hanya RM 2.50 sahaja. Nak beli buku teks jangan haraplah.

3 comments:

menarik semoga dikemaskini sentiasa

13 Ogos 2008 pada 10:43 PG  

Jangan masukkan hal-hal yang membabitkan kepertian sudahlah.

13 Ogos 2008 pada 10:45 PG  

Kepartian tidak apa asalkan "amal makruf, nahi mungkar'.

23 November 2008 pada 11:30 PTG  

Catatan Terbaru Laman utama