Penawar Lekat Tulang

Satu petang, orang rumah pulang dari kerja dengan mud yang sungguh tak baik. Apabila ditanya, barulah diberitahu, dia lekat tulang. Masa ke Pulau Seratus, dia makan nasi, entah bagaimana, lekat tulang ikan. Sudah berbagai ikhtiar dilakukan. Makan roti, nasi kempal, makan dodol dan jolok-jolok dengan tangan hingga hampir muntah pun, tulang tak keluar-keluar juga.
Pada mulanya, aku buat tak peduli. Maklumlah banyak kerja yang hendak diselesaikan. Kerja sekolah, kerja masjid dan mana lagi kerja untuk kenduri. Lagi pun ndak buat macam mana. Dalam bab ini aku memang buta kayu. Aku tak belajar apa-apa ilmu pun daripada ayah. Kalau ayah masih ada, memang dia boleh buat penawar lekat tulang.
Pada lewat malam, dia demam dan batuk-batuk. Suara dah serak. Barulah timbul rasa kasihan. Besok sajalah suruh dia ke klinik. Sementara itu, ikhtiar yang boleh dibuat ialah layari internet. Cari penawar lekat tulang. Beberapa laman yang dibuka, ada banyak maklumat dijumpai. Ada dalam bentuk jampi serapah, ada dalam bentuk perubatan moden dan ada juga yang menggunakan tulisan ayat-ayat al-Quraan ditulis dengan dakwat zafran pada cawan. Semuanya ikhtiar. Aku tertarik dengan komen seorang pelawat blog Dr Zafuan yang mengiklankan kebolehannya menangani masalah lekat tulang dengan menggunakan foset dan gunting. Mengikut pelawat itu, tak usah payah-payah, kalau ada orang yang dilahirkan songsang (keluar punggung dulu), suruh dia bacakan Bismillah ..... dan Selawat atas Nabi dihadapan air masak yang dimasukkan ke dalam senduk gulai. Kemudian beri kepada pesakit minum air tersebut sambil berselawat. Insha Allah katanya, tulang akan lepas secara ajaib.

Teringat aku, seorang anak perempuan yang dilahirkan bagitu. Tetapi dia di Seberang Jaya, kerja hospital jugalah. Aku ambil jalan pintas, aku sediakan air masak dalam senduk gulai. Lalu aku telefon dia di SJ. Aku terangkan kesemua kepadanya dan suruh dia bacakan Bismillah... dan Selawat. Aku aktifkan handset HTC Tytn 11 pada hand-free dan dekatkan telefon pada air. Air selawat dari jarak jauh tadi diberikan pada ibunya dan diminumnya dengan iringan selawat. Barulah ibunya dapat tidur lena.
Seawal pagi, dialog pertama aku dengan isteri ialah bertanyakan tentang tulang. Insha Allah, katanya tulang sudah keluar dengan gumpalan kahak. Panjang pula tuu, hampir satu inci.

Tidak dapat aku gambarkan, hanya ucapan syukur yang tidak terhingga diatas nikmat dan kebesaran Allah. Hambanya hanya berikhtiar yang sedikit. Nikmat pemberian Allah yang melimpah ruah. Lantas aku telefon si anak untuk khabarkan berita gembira. Bersama dengan pesanan, jangan takarbul dan jangan lupa sandarkan ikhtiar itu dengan kalimah 'dengan izin Allah', dalam hati aku berkata, ada juga pengganti ayah Omar, bomoh lekat tulang.





Jururawat terlatih yang boleh
ikhtiarkan penawar 'lekat tulang'

0 comments:

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama